Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberitahu Dewan Rakyat bahawa prevalen bantut dan obesiti telah meningkat di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, prevalen bantut dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah lima tahun telah meningkat daripada 17.7 peratus pada 2015 kepada 21.2 peratus pada 2022.

Menurutnya, prevalen obesiti dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun juga telah meningkat daripada empat peratus pada 2015, 5.6 peratus pada 2019 dan 6.0 peratus pada 2022.

Sementara itu, bagi prevalen obesiti dalam kalangan murid berumur 10 hingga 17 tahun turut meningkat daripada 14.6 peratus pada 2012 kepada 15.6 peratus pada 2017.

“Prevalen obes juga meningkat daripada 12.3 peratus pada 2012 kepada 14.8 peratus pada 2017. Data ini menunjukkan bahawa satu daripada tiga orang murid sekolah mengalami sama ada masalah berlebihan berat badan atau obes.

“Prevalen obesiti dalam kalangan dewasa meningkat dari 19.7 peratus pada tahun 2019 kepada 21.8 peratus pada tahun 2023,” beritahu dr Dzulkefly dalam jawapan bertulis di Parlimen, semalam.

Dkulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai statistik rakyat Malaysia yang mengalami bantut dan obesiti dari tahun 2013 hingga 2023 dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Alias turut bertanyakan kesedian KKM untuk menyemak semula keberkesanan program untuk mengatasi isu bantut dan obesiti itu.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, masalah bantut dan obesiti dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan tidak terhad kepada masalah pemakanan sahaja.

Katanya, antara usaha berterusan KKM ialah menyemak semula pelaksanaan strategi dan program selari dengan dasar dan halatuju kementerian seperti Kertas Putih Kesihatan, Dasar Pemakanan Kebangsaan (DPKM) 2.0, Reviewed Nutrition Policy Options to Combat Obesity in Malaysia dan National Strategic Plan for Non-Communicable Diseases (NSP-NCD 2016- 2025).

Selain itu katanya, antara program dan aktiviti yang telah disemak semula bagi mengatasi isu bantut dan obesiti adalah seperti memperkukuh inisiatif 1,000 hari pertama kehidupan dengan menyasarkan kumpulan ibu hamil sehingga kanak-kanak berumur dua tahun yang meliputi penjagaan kesihatan dan pemakanan.

“Memperluaskan kriteria penerima dalam Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan atau Program Bakul Makanan bermula Jun 2022.

“(Dan) memperkasa Jurulatih Utama (JU) Cara Hidup Anda Terbaik (C-HAT) daripada kalangan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membantu mengatasi masalah obesiti di sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast