Seorang penjawat awam yang ditahan berhubung kes pembunuhan Nur Farah Kartini, tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru di sini bagi permohonan reman. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JULAI 2024.

MELAKA – “Emosi adik sangat terganggu, hari-hari menangis sedangkan dia langsung tak bersalah jadi tolonglah hentikan apa sahaja spekulasi dan hormati keadaannya serta kami sekeluarga.

“Adik juga tak dapat lagi bekerja dan perlu menjaga anak perempuan yang masih bayi, jadi bantulah dia untuk melalui waktu yang tersangat sukar ini,”.

Itu luahan abang kepada isteri suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25, ketika ditemui ditemui di Pengkalan Batu, di sini, hari ini.

Bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sebelum mayat mangsa yang dipercayai dibunuh individu dikenalinya kira-kira pukul 6 petang 15 Julai lalu.

Menurut lelaki berusia 40 tahun itu, tekanan emosi melampau yang dialami adiknya, 25 tahun, yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik membuatkan mereka sekeluarga perlu sentiasa menemaninya untuk memberikan sokongan moral.

“Sebagai isteri, dia tidak percaya dengan apa yang berlaku kerana suami dikenalinya itu sejak berkahwin hampir lima tahun lalu seorang yang alim, ringan tulang dan tinggi disiplin.

“Saya merayu, tolonglah bantu adik saya dengan tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih dan biarkan polis melakukan siasatan mengikut lunas undang-undang.

“Kami juga dinasihati oleh pegawai kaunseling untuk sentiasa menemani adik kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini lebih-lebih lagi adik perlu memberi perhatian terhadap bayi perempuan yang baru berusia lapan bulan,” katanya lagi.

Rayunya lagi, adiknya juga kini terpaksa menjauhi media sosial kerana takut untuk membaca pelbagai andaian dibuat dalam kes ini yang hanya akan memburukkan lagi gangguan emosinya.

“Orang tak berada di tempat kami, jadi mereka tak tahu bagaimana sakitnya perasaan ini apatah lagi adik saya mangsa keadaan yang langsung tidak bersalah dan tidak tahu apa-apa.

“Tolonglah bantu adik saya dengan tidak mengeruhkan lagi keadaan ini,” rayunya sebak sambil menyeka air mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast