Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir ke Himpunan Barisan Nasional (BN) Sabah di Sandakan pada 21 Julai ini.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, langkah itu untuk menjaga keharmonian di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Negeri Sabah ketika ini.

“UMNO termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) merupakan parti pembangkang di Sabah.

“GRS dan PH merupakan parti yang membentuk Kerajaan Negeri Sabah ketika ini.

“Sudah tentu kehadiran Datuk Seri Anwar ke perhimpunan itu dilihat sebagai satu usaha untuk memecahbelahkan kesatuan di antara GRS dan PH di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MalaysiaGazette dimaklumkan Perdana Menteri dijadualkan menghadiri Himpunan BN Sabah di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua di Sandakan pada Ahad ini.

Majlis parti politik itu akan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, sebelum ini wujud cadangan untuk menggabungkan komponen BN dan PH untuk menentang GRS pada PRN-17 akan datang.

“Tetapi G57 berkeyakinan kepimpinan PH di Sabah akan menolak cadangan itu dan berkeyakinan PH akan terus bekerjasama dengan GRS,” katanya.

Katanya, tindakan kepimpinan UMNO Sabah cuba mengadakan perhimpunan BN sambil menjemput Perdana Menteri dilihat satu lagi strategi untuk menjayakan misi untuk memporak-perandakan kesatuan GRS dan PH.

“G57 berharap Datuk Seri Anwar tidak hadir dan membiarkan kepimpinan UMNO dan BN menentukan hala tuju mereka di Sabah, memandangkan BN termasuk GRS dan PH membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan ketika ini.

Katanya, ia bukan soal takut tetapi tindakan melibatkan Datuk Seri Anwar ke Himpunan BN itu sangat tidak wajar, dalam masa sama komponen tersebut berseteru kepada GRS dan PH.

“Ia dikhuatiri boleh mengundang ketidaktenteraman dalam kalangan parti-parti yang bersama membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Malah Datuk Seri Anwar juga acap kali menyatakan keyakinan beliau terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Justeru keyakinan itu harus diterjemahkan untuk tidak mencampuri urusan pentadbiran BN di Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette