SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) boleh merampas Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya berjaya memenangi enam lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata sasaran itu boleh dicapai sekiranya jentera bergerak dari sekarang dan meletakkan calon boleh menang.
“Untuk PRU16, kita yakin boleh menang lima atau enam kerusi tapi kita kena bersiap sedia dari awal dengan strategi yang betul terumatanya dalam pemilihan calon,” katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali ketujuh di Ideal Convention Centre (IDCC), hari ini.
Jelas Jasri, PN Pahang memenangi 17 kerusi DUN dengan dua daripadanya disumbangkan Bersatu dan bakinya adalah daripada Pas.
Ditanya kawasan yang boleh dimenangi oleh Bersatu, Jasri berkata kawasan tersebut adalah di kawasan majoriti Melayu.
“Kawasan DAP hanya ada 8 kerusi dan selebihnya adalah kawasan majoriti melayu,” katanya lagi.
Awal hari ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan gabungan PN akan dapat merampas tiga negeri pada PRU16, kelak.
Muhyiddin berkata keyakinan itu adalah berdasarkan kepada sokongan yang dilihat semakin meningkat di Perak, Pahang dan Selangor.
Dalam pada itu, perwakilan Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata Bersatu perlu mengutip dana memandangkan akaun parti sudah disita.
Jelasnya, cadangan itu mencadangkan agar seluruh bahagian dan jawatankuasa parti itu perlu membuat perubahan demi survival parti.
“Hari ini kita memulakan (kutip sumbangan) tetapi parti lain sebenarnya sudah mula. Saya nak nyatakan ia adalah satu langkah pembaharuan yang perlu dibuat parti.
“Saya nak minta ketua-ketua bahagian bincang dengan ahli jawatankuasa bahagian kita lakukan perkara sama. Parti kita ini bukan tiada duit, duit bukan dibeku tetapi disita,” katanya dalam perbahasan PAT 2024, di sini hari ini.
Tahun lalu, dua akaun Bersatu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 12 dan 13 Januari.
Sitaan ke atas dua akaun parti terbabit dibuat setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank. – MalaysiaGazette