SUNGAI BULOH – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah sekiranya diperlukan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, ia sebagai sokongan moral keluarga yang bersedih dan trauma di atas pemergian arwah.

“Saya ada berjumpa ahli keluarga (Nur Farah Kartini) abang serta ibunya dalam keadaan bersedih.

“Justeru, saya mewakili Ahli Parlimen serta Menteri Kesihatan sendiri menawarkan perkhidmatan kaunseling psikososial dan ‘post trauma’ terhadap mereka,” katanya selepas menziarahi keluarga arwah di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Beliau yang tiba pada jam 12.15 tengah hari tadi meluangkan masa kira-kira sejam bersama keluarga wanita kelahiran Miri, Sarawak itu.

Dalam masa sama, Lukanisman menuntut siasatan dijalankan pihak polis secara adil terhadap kes bunuh Nur Farah Kartini.

“Saya juga Ahli Parlimen Miri jadi sudah tentu saya ingin menuntut keadilan terhadap kes ini agar ia dapat diselesaikan.

“Jenazah kini sedang dimandikan dan akan dikebumikan kampung kakak ipar Allyarham di Pekan, Pahang.

Pagi tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan identiti mayat wanita yang ditemukan di lokasi kejadian adalah Nur Farah Kartini.

Katanya, jenazah akan serahkan pada waris, hari ini. -MalaysiaGazette