PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerima baik pengumuman Pakej Rahmah Prabayar Siswa yang ditawarkan oleh Kementerian Komunikasi.
Pakej itu menawarkan harga tidak melebihi RM30 dengan permulaan data minimum sebanyak 30GB untuk tempoh sah laku selama 180 hari.
Menurut Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, kerjasama strategik yang terbentuk bersama syarikat penyedia perkhidmatan terlibat ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk membantu pelajar mendapatkan akses internet lebih bagi tujuan pengajian dan pembelajaran.
“Dalam Pakej Rahmah Prabayar Siswa, pihak kerajaan tidak mengeluarkan apa-apa bayaran tetapi syarikat telekomunikasi yang bermurahkan hati untuk mengurangkan caj kepada golongan mahasiswa.
“Saya mewakili KPT ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan, Kementerian Komunikasi, syarikat telekomunikasi dan semua pihak terlibat dalam menjayakan pakej ini yang semestinya dapat mengurangkan beban mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah mengumumkan bahawa Pakej Ramah Prabayar Siswa boleh mula dilanggan melalui CelcomDigi, Maxis, UMobile, TM Tech dan YTL Communications (YES) bermula 16 Ogos akan datang.
Walaubagaimanapun, pakej itu khusus untuk pelajar yang melanjutkan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) terpilih.
Untuk melihat senarai lengkap IPTA dan ILKA terpilih, pelajar boleh melayari laman sesawang rasmi Kementerian Komunikasi, www.komunikasi.gov.my – MalaysiaGazette