J Daniel, 31, didenda RM5,450 oleh Mahkamah Majistret Melaka hari ini selepas mengaku bersalah di atas tiga pertuduhan melakukan perbuatan itu bulan lalu.

MELAKA – Padah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis, seorang operator kilang didenda RM5,450 oleh Mahkamah Majistret Melaka hari ini selepas mengaku salah di atas tiga pertuduhan melakukan perbuatan itu bulan lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, J Daniel, 31, membuat pengakuan itu sebaik tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, Daniel didapati berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap amggota polis yang sedang bertugas di Balai Polis Bandar Hilir pada pukul 12.30 pagi, 17 Jun lalu.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967.

Bagi pertuduhan kedua tertuduh didapati bersalah mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah terhadap dua anggota polis yang sedang bertugas di lampu isyarat Hotel Doubletree di persimpangan Jalan Syed Abdul Aziz, Bandar Hilir pada jam 12.25 pagi, tarikh yang sama.

Sabit kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didapati bersalah menghalang tugas dua anggota polis yang menjalankan fungsi awam di lokasi, masa dan tarikh sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 186 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh yang diwakili peguam Daniel Savarimutu.

Peguam bagaimanapun memohon hanya dikenakan denda memandangkan ia kesalahan pertama anak guamnya yang hanya bekerja kilang dengan gaji minimum selain sedang menjaga ibunya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Sharda Shiena menjatuhkan hukuman denda RM450 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua, Daniel didenda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda dan denda RM2,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda dalam pertuduhan ketiga.

Tertuduh membayar denda berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast