KUALA LUMPUR – Pusat beli belah mesra muslim, Malakat Mall menutup satu-satunya premis fizikalnya di Cyberjaya selepas beroperasi selama empat tahun.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim yang berkata, hari terakhir pusat beli belah tersebut dibuka kepada umum ialah pada 31 Julai ini.
“Imej pasar mesra muslim dan mesra usahawan adalah imej Malakat Mall yang tidak akan berhenti di sini dan mesti diteruskan dalam apa jua bentuk yang bersesuaian.
“Kami akan bina kekuatan asas kumpulan kami dengan memberi fokus kepada sistem dalam talian.
“Semoga usaha ini akan mencapai kejayaan di masa hadapan. Kami mohon doa dan sokongan yang berterusan agar perjuangan ini mencapai kejayaan di masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, sejak dibuka pada 13 Mac 2020, Malakat Mall telah diuji dengan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan pandemik Covid-19 selepas hari ke-5 beroperasi.
Mohd Fadzil turut mengumumkan Penjualan Penutupan Malakat Mall dengan diskaun aset sehingga 70 peratus mulai 20 Julai sehingga 31 Julai ini.
Menurut beliau, Malakat Mall akan meneroka model perniagaan baharu dengan perniagaan makanan dan minuman akan berpindah ke dalam bangunan Casa DeMadani yang akan diubah menjadi restoran.
Unit peruncitan akan berpindah 100 peratus kepada perniagaan secara dalam talian bagi jualan pelbagai barangan seperti busana, aksesori, alat tulis, buku serta perhiasan.
Manakala kedai Malakat Grocer akan dikekalkan operasi di Taman Kosas, Ampang.
Sementara itu, beliau turut menyatakan kesediaan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) untuk membeli saham ahli-ahli yang ingin menjual semula syer mereka.
“KoPPIM tetap kekal sebagai koperasi strategik yang mana jika digembeleng kekuatannya secara betul akan berjaya menjadi pembina ekonomi ummah,” katanya yang juga dikenali sebagai Coach Fadzil.- MalaysiaGazette