Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi tumpuan untuk memperkasakan industri melibatkan bahan-bahan bukan makanan yang menjadi keperluan penyediaan produk halal di peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, ini kerana Malaysia berpotensi memenuhi keperluan industri halal dunia.

Justeru itu, Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) kini sedang mengkoordinasikan inisiatif dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan bagi memanfaatkan tanah-tanah terbiar.

“Dalam industri halal ini malang sekali hanya sektor makanan dan minuman sahaja yang menjadi tumpuan, saya fikir untuk pergi ke peringkat antarabangsa kita harus mengusahakan agar banyak aspek lain seperti vaksin umpamanya yang sangat memerlukan vaksin halal.

“Paling penting adalah penyediaan bahan-bahan ramuan pada produk-produk berkaitan halal di peringkat antarabangsa, seperti serai, lengkuas atau bahan-bahan herba umpamanya. Ia sangat diperlukan di peringkat antarabangsa untuk pengeluaran kosmetik dan lain-lain bahan.

“Kita lihat usaha telah dilakukan namun dibuat secara kecil-kecilan maka pihak majlis halal Malaysia sedang mengkoordinasikan pihak negeri dan agensi lain supaya tanah-tanah terbiar dan kurang digunakan dapat ditanam dan mengeluarkan ramuan-ramuan yang diperlukan bagi pengeluaran produk halal peringkat antarabangsa,” katanya pada Sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta kerajaan menyatakan pelan tindakan untuk memperkasakan industri halal khususnya kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana(PMKS), syarikat Bumiputera, syarikat luar bandar mahupun usahawan muda sejajar sasaran Malaysia menjadi peneraju pasaran halal antarabangsa dengan nilai eksport halal sebanyak RM63.1 bilion menjelang 2025. 

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, usaha mempertingkatkan penglibatan syarikat Bumiputera dalam industri halal, Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 telah menggariskan satu teras strategik yang memfokuskan kepada galakan peningkatan daya saing syarikat Bumiputera.

“Halal Development Corporation Berhad (HDC) telah menjalankan pelbagai usaha antaranya program-program pembangunan melibatkan syarikat tempatan. 

“Melalui program tersebut syarikat Bumiputera akan diberi peluang untuk menceburi sektor halal yang berpotensi tinggi bagi memperkukuh rantaian bekalan serta pengadaptasian teknologi digital dan pengkomersilan produk-produk inovasi,” katanya.

Sehingga Julai 2024, jumlah syarikat mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah sebanyak 9,146 buah syarikat. 

Daripada jumlah tersebut sebanyak 8,105 buah syarikat merupakan PMKS. 

“Manakala, 3,616 syarikat adalah syarikat milikan Bumiputera dan 5,270 merupakan bukan Bumiputera. Jumlah Syarikat Multinasional (MNC) yang memperoleh sijil halal adalah sebanyak 1,041 syarikat,” kata Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast