mahasiswa
Che Mohamad Zulkifly Jusoh

KUALA LUMPUR – Sesi sidang Dewan Rakyat tengah hari ini tegang apabila beberapa ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang bertikam lidah.

Ia bermula apabila Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) bangun membangkitkan pertanyaan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Che Mohamad bingkas bangun mempersoalkan soalan Aturan Mesyuarat Harian beberapa hari sebelum ini yang disifatkan beliau sebagai tidak adil.

“Saya dapati dalam dua, tiga hari lepas, soalan yang pertama daripada kerajaan, yang kedua daripada pembangkang, yang ketiga kerajaan dan yang keempat juga kerajaan iaitu enam orang bukan ahli (Parlimen) daripada Bersatu,” katanya di Dewan Rakyat.

Mendengar perkara itu, Johari kemudian menjelaskan enam bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan merupakan ahli Parlimen kerajaan.

Johari menegaskan, penyusunan kedudukan semua ahli Parlimen adalah hak beliau dan tidak perlu dipersoalkan oleh mana-mana ahli Parlimen.

“Hak menyusun, ini hak saya. Yang berhormat tidak boleh pertikaikan. Ahli Parlimen Beluran (Datuk Seri Dr Ronald Kiandee) ada di sini. Tanya Beluran. Beluran (merupakan) Ketua Whip,” katanya.

Tidak puas dengan penjelasan tersebut, Che Mohamad kemudiannya menyifatkan perkara itu sebagai tidak adil, menyebabkan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) bangun dengan memintanya untuk duduk.

“Besut (Che Mohamad), duduklah Besut. Hakim apa ini Besut?,” katanya merujuk kepada bekas pekerjaannya sebelum menjadi ahli Parlimen.

Kenyataan Mohd Sany itu menimbulkan rasa tidak puas hati Che Mohamad dengan membuat sindiran sinis terhadap ahli Parlimen kerajaan itu.

“Haji mabrur ke apa ini? Kau jangan kacau,” katanya memerli Mohd Sany yang sebelum ini baru mengerjakan haji.

Pertikaman lidah itu melibatkan beberapa minit antara kedua-dua ahli parlimen sebelum ia ditenteramkan oleh Johari dengan meneruskan perjalanan dewan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast