Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan reman tiga anggota penguat kuasa sebuah jabatan yang disyaki terbabit sindiket pemalsuan pembaharuan pasport di negeri itu.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan reman tiga anggota penguat kuasa sebuah jabatan yang disyaki terbabit sindiket pemalsuan pembaharuan pasport di negeri itu.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an dipercayai ditahan kira-kira 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.

Susulan penahanan itu, ketiga-tiga suspek telah di bawa ke Mahkamah Majistret 2 Kota Kinabalu, Sabah, pagi tadi dan perintah reman selama enam hari sehingga 24 Julai 2024 telah dikeluarkan oleh Majistret Wan Farrah Fariza Wan Ghazali.

“Kesemua suspek yang ditahan dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2023 sehingga kini dan menerima wang rasuah kira-kira RM3,000 setiap seorang bagi seorang pemohon.

“Siasatan awal mendapati seramai 100 pemohon yang terlibat dan modus operandi adalah dengan memalsukan tandatangan penerima serta memanipulasi sistem cap jari pemohon di mana peraturan menetapkan pemohon perlu hadir sendiri di agensi untuk mengambil pasport yang telah diluluskan.

“Anggota penguat kuasa yang terlibat kemudian menyerahkan pasport kepada orang tengah tanpa kehadiran pemohon yang masih berada di luar negara dan menerima rasuah kira-kira RM300,000 daripada sindiket itu yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun 2023,” katanya.

Kata sumber lagi, hasil siasatan menunjukkan penguat kuasa terbabit telah menerima wang rasuah daripada ejen secara pindahan wang ke akaun bank milik salah seorang penguat kuasa yang kemudian mengagihkan kepada rakan-rakannya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette