Makmal proses kokain untuk pasaran antarabangsa didalangi pasangan suami isteri ditumpaskan PDRM menerusi dua serbuan JSJN Bukit Aman di sekitar Cheras pada 16 Julai lalu.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya membongkar satu makmal memproses dadah jenis kokain bernilai RM9 juta untuk pasaran antarabangsa oleh tiga suspek di negara ini.

Pasangan suami isteri itu antara tiga suspek tempatan yang disyaki memainkan peranan sebagai runner, tukang masak serta memproses kokain dengan menyewa kondominium mewah di ibu negara.

Mereka berjaya digempur dan ditumpaskan pada 16 Julai lalu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin.

Menurutnya, pada tarikh tersebut, lebih kurang 10 malam hingga 11.45 malam itu pasukan JSJN Bukit Aman melancarkan dua serbuan di sekitar Cheras dan Selangor.

Dalam serbuan pertama di sebuah kondominium mewah di Jalan Cheras Batu Lima, pasukannya berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan wanita warga tempatan masing-masing berusia 41 tahun.

“Pemeriksaan di dalam kediaman mereka berjaya menemukan dan merampas dadah jenis kokain seberat 44.931 kilogram (kg) dan juga 52.5 liter cecair kimia dalam rumah tersebut.

“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek itu merupakan pasangan suami isteri dan kondominium berkenaan disewa atas nama wanita berkenaan dengan kadar sewa bulanan RM2,350 sebulan.

“Polis juga menjumpai sejumlah besar botol wain hitam yang dipercayai digunakan sindiket itu untuk penyimpan cocaine base serta cecair kimia yang difahamkan digunakan sebagai bahan campur memproses kokain,” katanya dalam sidang media hari ini.

Makmal proses kokain untuk pasaran antarabangsa didalangi pasangan suami isteri ditumpaskan PDRM menerusi dua serbuan JSJN Bukit Aman di sekitar Cheras pada 16 Julai lalu.Tambah Kok Chin, dalam serbuan kedua pada hari yang sama – polis berjaya mengempur sebuah rumah pangsapuri di Taman Kasturi Cheras sebelum menahan suspek ketiga – seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang disyaki berperanan sebagai runner.

Pemeriksaan lanjut ke atas suspek dan rumah berjaya membawa kepada rampasan satu kilogram serbuk kimia disyaki bagi memproses kokain sekaligus menjadi jumlah keseluruhan rampasan dadah menerusi kedua-dua serbuan dan tangkapan tiga suspek adalah bernilai RM9 juta.

“Modus operandi sindiket adalah menjadikan kondominium mewah sebagai makmal memproses dan setor menyimpan kokain sebelum diedarkan ke luar negara menggunakan pengangkutan udara.

“Dalam kes ini, wanita berkenaan berperanan sebagai tukang masak kokain manakala suaminya serta suspek ketiga pula menjadi runner (penghantar) dalam kegiatan tersebut.

“Suspek ketiga disaring dan disahkan positif ketamin dan juga memiliki lapan rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah selain dikehendaki di Bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya lagi.

Polis turut menyita aset-aset milik sindiket kesemuanya dianggarkan bernilai RM201,000 dan antaranya barang kemas bernilai RM34,426, tiga kenderaan bernilai RM159,000 selain lima utas jam tangan berjenama Rolex  disyaki tiruan bernilai RM7,500.

Kok Chin menambah, operasi berjaya dilaksanakan hasil Kerjasama JSJN Bukit Aman dengan Pengurusan Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat dalam menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran kokain untuk pasaran luar negara.

PDRM akan meneruskan siasatannya untuk mengesan rangkaian sindiket berkenaan yang dipercayai masih bebas di luar dan rakan sekutunya di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Kes sedang disiasat di Bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pasangan suami isteri direman tujuh hari bermula 17 hingga 23 Julai ini manakala suspek ketiga direman selama empat hari sehingga 20 Julai depan bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette