Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap pada media ketika di Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 15 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa pengendali aplikasi media sosial TikTok telah mengambil langkah untuk menambah baik penelitian kandungan siaran langsung dalam aplikasi tersebut.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata berdasarkan kepada pertemuan beliau bersama wakil aplikasi tersebut, pengendali tersebut berkata pihaknya akan menambah jumlah pemantau siaran langsung.

“Dalam perbincangan saya dengan pihak TikTok, mereka telah memaklumkan bahawa mereka mengambil serius kejadian ini (buli siber terhadap Rajeswary Appahu).

“Mereka (TikTok) sangat terkesan dan dengan segera menambah jumlah moderator yang akan meneliti konten dan juga sesi TikTok Live dalam bahasa vernakular termasuk bahasa Tamil,” katanya dalam jawapan sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Fahmi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu samada kerajaan dalam menggubal undang-undang khusus melibatkan kerjasama rentas kementerian bagi menangani insiden buli siber yang sedang berleluasa hari ini.

Pada 5 Julai lalu, pempengaruh Rajeswary Appahu, 30, ditemui meninggal dunia sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata pihaknya bersetuju mod pemantauan ke atas buli siber perlu diubah kerana ia sering berlaku dalam siaran langsung terutama pada tengah malam dan awal pagi.

“Banyak siaran langsung TikTok ini berlaku di tengah malam. Dalam aduan TikTok Live mendiang Rajeswary ini, difahamkan berlaku sekitar 3 dan 4 pagi, jadi mod pemantauan perlu berubah,” jelas Fahmi lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast