Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Usul untuk menggantung Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan diluluskan hari ini dengan undian belah bahagi.

Ia selepas usul untuk menggantung Wan Ahmad Fayhsal ekoran pendedahannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dibenarkan untuk dibentang Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Ahli Parlimen yang tidak hadir 46, dan tidak mengundi tiga, di mana 110 ahli Parlimen setuju akan usul, dan 63 tidak bersetuju, maka Machang digantung mulai hari ini selama enam bulan,” kata Johari.

Selepas undian dibacakan, kesemua ahli Parlimen pembangkang bingkas bangun dan membacakan Qunut Nazilah diketuai Zulkifli Ismail (PN-Jasin).

Bingkas bangun, Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau tidak akan tunduk dengan penggantungan tersebut.

“Saya tidak akan menyerah dalam perjuangan,” katanya sehingga mikrofon beliau dimatikan Johari.

Terdahulu, Datuk Hasan Karim (PH-Pasir Gudang) sebelum itu meminta agar Wan Ahmad Fayhsal dibenarkan untuk membela diri beliau.

“Saya mohon Speaker berikan ruang kepada Machang untuk membela diri,” kata Hasan.

Johari bagaimanapun tidak mengendahkan saranan tersebut dan memulakan sesi undian terhadap usul berkenaan.

Dewan sebelum itu mendengar pembentangan gesaan pergantungan itu yang dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Dakwaan (ahli Parlimen) Machang adalah satu perbuatan menjatuhkan martabat kakitangan awam. Machang telah mengeluarkan tindakan serius dan Machang harus digantung selama enam bulan,” kata Azalina.

Sebelum itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berharap agar Johari membuat penelitian terhadap usul berkenaan.

“Ada perkara yang boleh diteliti dan ada jalan keluar, saya harap Speaker gunakan kuasa Perkara 36 (11) untuk tolak usul kerajaan.

Perkara 36 (11) adalah mengenai pertimbangan Speaker bahawa apa-apa usul atau pindaan yang dijalankan lagi di atas usul itu bertujuan melanggar peraturan tersebut.

Perkara itu juga menyebut Speaker berkuasa menolak usul atau pindaan tersebut mengikut mana yang dikehendaki atau memberhentikan perbahasan dan memerintahkan supaya usul berkenaan tidak boleh dibahaskan.

Dalam usul berkenaan, Wan Ahmad Fayhsal membawa perhatian suatu surat layang yang tidak dapat dikenal pasti identiti pengadu dan kesahihan maklumatnya dan ia bukan saja memberi kesan buruk kepada individu yang didakwa tetapi juga secara umum kepada pegawai agensi di bawah kementerian, yang mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas itu.

Pada 1 Julai lalu, ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fayhsal menuntut penjelasan diberikan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB selepas beliau dikatakan menerima satu surat layang mendedahkan ‘dalang’ di sebalik keputusan berkenaan.

Beliau secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Wan Ahmad Fayhsal, sebelum itu mengemukakan usul tergempar bagi menggesa penangguhan atau pembatalan penjualan sebahagian saham MAHB kepada syarikat berkait BlackRock, Global Infrastructure Partners (GIP), namun usul itu ditolak Johari. – MalaysiaGazette