Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh bercakap pada sidang media berkenaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Jailani Khamis yang menyertai parti Pas di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 19 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis perlu menanggung segala kos-kos ganti rugi sebagai calon atas nama Barisan Nasional (BN) dengan jumlah kos yang dikira munasabah.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh berkata, ia susulan implikasi ‘Aku Janji’ yang ditandatangani beliau semasa bersetuju untuk menjadi calon BN pada Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) Ke-15.

“Kerajaan Negeri Melaka dan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka akan meneliti lebih lanjut dakwaan ADUN Rembia yang sudah berhijrah ke parti Pas berpandukan kepada undang-undang dan peraturan.

“Perkara ini akan diteliti dari dua sudut berbeza lain melalui perlembagaan parti sebagai wakil rakyat yang mewakili parti dan Kerajaan Negeri sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka sebelum memuktamadkan sebarang tindakan susulan,” katanya pada sidang media khas di sebuah hotel di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Rauf berkata, Kerajaan Negeri Melaka juga akan mengkaji kenyataan dibuat oleh Muhammad Jailani termasuk dakwaan beliau sudah mengisytiharkan dirinya menyertai Pas pada Jun tahun lalu.

Kata beliau, ia termasuk melakukan semakan sama ada tindakan bekas Exco Negeri itu menyertai parti pembangkang terkait dengan Aka Anti Lompat Parti yang diluluskan pada Persidangan DUN Melaka pada 31 Julai tahun lalu.

“Kekosongan kerusi DUN Rembia akan ditentukan oleh Speaker DUN nanti,” katanya.

Selasa lalu, Muhamad Jailani diumumkan menjadi ahli Pas selepas permohonn menjadi ahli parti itu diterima pada 10 Jun 2023.

Pengumuman bekas pemimpin UMNO itu diumumkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada sidang media di Parlimen.

Takiyuddin berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Muhamad Jailani pada tarikh sama sebelum DUN Melaka membuat pindaan Akta Anti Lompat Parti pada Julai tahun lalu.

Muhamad Jailani sebelum ini didesak meninggalkan UMNO dan menyerahkan kerusi DUN Rembia disandang berikutan tindakannya menyertai aktiviti parti pembangkang sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

DUN Rembia adalah satu daripada lima kerusi dalam Parlimen Alor Gajah, Melaka.

Ketika ini Muhamad Jailani yang kini menjadi Pengerusi NGO Muafakat Nasional (MN) Melaka digantung keahliannya oleh UMNO selama enam tahun.

Tindakan itu diambil susulan kontroversi kehadirannya berkempen di atas pentas PN semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram di Johor, diadakan pada Ogos tahun lalu.

Untuk rekod Muhamad Jailani merupakan ahli UMNO sebelum menyertai PKR dan menjadi ADUN Rembia pada 2018. Bagaimanapun dia bersama tiga Adun PH lain menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari.

Tindakan tersebut menyaksikan kerajaan PH Melaka akhirnya tumbang pada Mac 2020 dan digantikan dengan BN. – MalaysiaGazette