Anggota bomba memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa lemas semasa mandi di anak sungai di Taman Pulai Perdana, Skudai, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kegembiraan lima beradik mandi bersama-sama bapa di anak sungai berakhir tragedi apabila seorang lemas manakala yang lain dapat diselamatkan dalam kejadian di Taman Pulai Perdana, Skudai di sini hari ini.

Remaja perempuan berusia 14 tahun itu mandi di anak sungai tersebut bersama-sama bapa, 33, kakaknya, 16, dan dua adik perempuannya berusia lima dan lapan tahun serta adik lelakinya, 12 tahun.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penguasa Bomba Kanan II Khairul Anwar berkata, semua mangsa difahamkan sedang mandi dan memancing dengan keluarga.

Pihaknya, kata Khairul, menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 3.38 petang.

“Seramai 10 anggota bersama-sama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian terdapat lima mangsa lemas semasa mandi dan memancing.

“Semasa semuanya lemas bapa mereka berjaya menyelamatkan empat anaknya namun gagal menyelamatkan mangsa.

“Difahamkan terdapat satu bahagian dalam seperti kawah di kawasan anak sungai terbabit menyebabkan kesemua mangsa yang sedang mandi lemas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Saiful Bahri, remaja mati lemas itu dijumpai anggota bomba pada jarak lebih kurang empat meter dari tebing.

“Mangsa diberikan bantuan pernafasan (CPR) selama 40 minit sebelum pihak Kementerian Kesihatan (KKM) tiba di lokasi. Namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh KKM,” katanya. – MalaysiaGazette