Keadaan salah sebuah daripada dua Kapal dagang yang berlanggar di timur laut Tanjung Balau, Kota Tinggi hari ini

KOTA TINGGI – Dua buah kapal dagang berlanggar pada kedudukan kira-kira 25 batu nautika timur laut, Tanjung Balau, dekat sini, hari ini.

Kejadian pada pukul 6.55 pagi itu dilaporkan kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru sebelum Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pemangku Ketua Pengarah APMM, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, kemalangan membabitkan kapal MT Hafnianile dengan MT Ceres 1.

“Maritim Malaysia telah menubuhkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili bagi mengkoordinasikan pencarian” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Katanya, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) juga sudah mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Niah, Bot Perkas 29 bot Petir 12 daripada Maritim Malaysia, KD Gempita daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot ronda PA 9 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 ke lokasi kejadian bagi tujuan SAR.

Aset Maritim Malaysia katanya, iaitu bot Perkasa 29 tiba di lokasi kejadian pukul 9.50 pagi tadi.

“Kita juga telah memaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai kemalangan itu sebagai langkah awal berdepan berlaku tumpahan minyak,” katanya.

Sementara itu ujarnya, pegawai dan anggota yang bertugas di Abu Bakar Maritime Base (ABMB) juga diarahkan untuk melaksanakan pemantauan di sekitar kawasan berhampiran. – MalaysiaGazette