Muhammad Zakwan Rusydi Suhaimi dan Nur Syamila Abd Latif (kiri). Foto FB MARA USA.

KUALA LUMPUR – Dua pelajar Malaysia yang menjadi penerima biasiswa Majlis Amanah Raya (MARA) berjaya meraih double master (dual sarjana) ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Ohio, Amerika Syarikat (AS).

Berita gembira itu dimaklumkan oleh MARA USA melalui satu hantaran di Facebook rasminya.

Menuru MARA USA, pelajar tersebut adalah Muhammad Zakwan Rusydi Suhaimi dan Nur Syamila Abd Latif.

Kedua-dua pelajar tersebut berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dalam bidang Dual Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Sarjana Pentadbiran Sukan Administration dari universiti berkenaan.

Sepanjang tempoh pembelajaran mereka di AS, banyak pendedahan dan pengalaman yang telah mereka perolehi kerana program ini menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman kepada pelajar.

Misalnya, pada tahun pertama pengajian MBA, mereka perlu melakukan konsultasi dengan sebuah organisasi yang berpangkalan di Amsterdam, Belanda.

Malah mereka juga perlu membentangkan hasil kerja mereka di sana sebagai projek tahun akhir sebelum menamatkan program MBA.

Menurut hantaran itu lagi, tajuk pembentangan yang dipilih oleh Zakwan ialah Strategic Use of Blockhain manakala Nur Syamika pula memilih tajuk Building a Sustainable Solopreneur VC Business Model.

Untuk tahun kedua pula, mereka berpeluang meneruskan pengajian mereka dan Sarjana Pentadbiran Sukan dengan penglibatan aktif dalam industri sukan di AS.

Zakwan juga berpeluang untuk melaksanakan projek akhir dengan salah satu pasukan terkemuka dari National Football League (NFL) iaitu New York Jets manakala Nur Syamila pula berpeluang melaksanakan projek akhir bersama Women National Basketball Association (WNBA).

Penglibatan berkenaan memberi pelbagai manfaat kepada kedua-dua pelajar untuk disumbangkan kepada negara kelak. – MalaysiaGazette