Bruno Mars akan berkunjung ke Malaysia pada 17 September untuk mengadakan konsert meganya di Stadium Nasional Bukit Jalil.

KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) melancarkan petisyen bagi membantah penganjuran konsert penyanyi terkenal, Bruno Mars.

Menerusi petisyen yang tersebar, ia dibuat sebagai tanda protes terhadap konsert yang dijadual bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 17 September depan.

“Ayuh bersama Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) untuk menandatangani petisyen ini sebagai tanda protes penganjuran konsert Bruno Mars dan desakan kita untuk konsert tersebut dibatalkan.

“Umum mengetahui bahawa Bruno Mars merupakan seorang penyanyi antarabangsa yang menyokong Israel dan pro genosid. Pendirian tidak berperikemanusiaan yang diambil oleh Bruno Mars ini perlu ditolak dan ditentang.

“Oleh itu, konsert ini wajib dibatalkan serta-merta sebagai bukti solidariti kita kepada rakyat Palestin. Pembatalan konsert ini adalah isyarat yang jelas dan kesungguhan yang serius daripada rakyat Malaysia dalam isu ini,” katanya menerusi pautan  petisyen di https://www.change.org/p/petisyen-bantah-konsert-bruno-mars.

Sebelum ini, penganjur konsert tersebut, Live Nation Malaysia menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, jualan tiket untuk konsert berkenaan akan mula dibuka pada 28 Jun lepas.

Sebelum bertandang ke Malaysia, Mars dijadual menjayakan konsert di Taiwan pada 8 September, diikuti Indonesia selama dua hari pada 13 dan 14 September.

Pada Januari lalu, penyanyi yang popular dengan lagu The Lazy Song, That’s What I Like dan Grenade itu hanya mengumumkan bakal mengadakan konsert di Bangkok pada 30 Mac dan Singapura (5 April).

Sepanjang kerjaya, Mars menjadi penyanyi kedua yang berjaya memenangi Anugerah Grammy untuk kategori utama, iaitu ‘Record Of The Year’ untuk tiga tahun berturut-turut.

Kali terakhir penyanyi kelahiran Hawaii, Amerika Syarikat (AS) itu beraksi di Malaysia adalah enam tahun lalu menerusi konsert jelajah Bruno Mars 24K Magic pada 11 April 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast