KUANTAN – Sebuah bot nelayan tempatan kail mengail kelas C ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang di perairan Kuala Pahang kerana melakukan kesalahan menggunakan sebidang pukat yang tidak dilesenkan pada Rabu.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim, Mazlan Mat Rejab berkata, bot terbabit dikesan ketika sedang bersauh oleh bot ronda Maritim Malaysia dalam rondaan Op Makmur dan Op Tiris pada kedudukan 17 batu nautika timur Kuala Pahang sekitar pukul 11.pagi.
Hasil pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong dan lima kru warga Vietnam berusia antara 35 hingga 46 tahun, mempunyai dokumen permit kerja dan pendaftaran lesen bot.
”Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebidang pukat di atas bot yang tidak dibenarkan penggunaannya bagi bot jenis kail mengail.
”Bot, tekong dan kru serta hasil perikanan yang dianggarkan sebanyak 200 kilogram dibawa ke jeti Pos Maritim Teluk Gading dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menjalankan aktiviti perikanan menggunakan sebidang pukat yang tidak dilesenkan bagi bot jenis kail mengail.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan 999. – MalaysiaGazette