Seorang guru lelaki duda berusia 35 tahun direman lima hari bagi membantu siasatan melakukan kes amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik seni sebuah sekolah menengah di Melaka, Mac lalu.

MELAKA – Seorang guru lelaki direman lima hari bagi membantu siasatan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik seni sebuah sekolah menengah di sini pada Mac lalu.

Perintah reman terhadap suspek duda berumur 35 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin sehingga 23 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Seksyen itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap warna jingga tiba di Mahkamah Majistret kira-kira 9 pagi ini dengan menaiki kenderaan polis sebelum keluar menaiki kenderaan sama pada pukul 10.30 pagi.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira 2 petang awal Mac lalu apabila pengadu pelajar perempuan sekolah menengah dalam daerah Melaka Tengah itu dihampiri suspek yang memegang tangannya ketika berada di bilik seni sekolah.

“Suspek Kemudian telah meraba payudara, paha, mencium serta memberi ‘kissmark’ di leher pengadu sebelum dia membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan suspek.

“Pengadu berang kerana suspek yang merupakan seorang duda anak seorang selepas itu datang ke rumah keluarganya untuk menyatakan hasrat berkahwin dengan pengadu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Tambahnya, sepasukan pegawai pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menahan suspek di pekarangan sekolah berkenaan kira-kira pukul 2.45 petang semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast