MELAKA – Seorang guru lelaki direman bagi membantu siasatan melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik sakit sebuah sekolah menengah, di sini, minggu lalu.
Perintah reman selama lima hari terhadap suspek berumur 46 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin sehingga 23 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap warna jingga tiba di Mahkamah Majistret kira-kira 9 pagi ini dengan menaiki kenderaan polis sebelum keluar semula menaiki kenderaan sama sejam 30 minit kemudian.
Sementara itu, menurut sumber, pengadu yang merupakan pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah dalam daerah Melaka Tengah mendakwa kejadian berlaku ketika mangsa balik dari rawatan klinik panel kira-kira pukul 12 tengah hari 11 Julai lalu.
“Semasa tiba di sekolah, suspek menyuruh pengadu berehat di bilik sakit sebelum mengunci pintu bilik dan duduk di sebelah pengadu.
“Selepas itu, suspek memberitahu mahu mengambil gambarnya sambil memeluk mangsa dan mengulangi perbuatan itu ketika mangsa baring di katil,” katanya.
Tambahnya, pengadu yang ketakutan kemudian memberi alasan mahu ke tandas sebelum berjumpa rakan sekolahnya menceritakan kejadian itu.
“Suspek kemudian ditahan ketika hadir di pejabat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kira-kira pukul 3.15 petang semalam. – MalaysiaGazette