Onn Hafiz (kanan) melakukan pertemuan dengan Fadilah (tengah ) di Kuala Lumpur bagi membimbangkan isu sumber air di Johor.

JOHOR BAHRU – Johor sedang mencari jalan meningkatkan sumber air bagi memastikannya setiasa cukup dalam memenuhi keperluan domestik, komersial dan pelbagai industri.

Sehubungan itu kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kerajaan negeri melakukan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, saya dan delegasi Johor berkesempatan bertemu Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menjemput Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) bagi membincangkan isu-isu sumber air dan projek berkaitan di Johor.

“Perbincangan ini juga menyentuh tentang projek sumber dan bekalan air di Johor selain cadangan baharu projek sumber air, termasuk juga perbincangan mengenai model bekalan air untuk pusat data,” katanya menerusi hantaran terbaharu dalam Facebook miliknya hari ini.

Memandangkan pembangunan pesat yang bakal berlaku di Johor dengan kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), beliau berkata, permintaan terhadap bekalan air juga pasti akan meningkat.

Katanya, pelbagai usaha sedang dirancang secara teliti untuk meningkatkan kapasiti bekalan air mengikut keperluan semasa dengan perancangan jangka sederhana dan panjang.

“Semua ini bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan rakyat Johor akan terus terbela dan terpelihara.

“Kerajaan negeri berharap cadangan yang dibentangkan ini diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya. Semoga segala usaha ini membawa manfaat yang besar dan kebaikan yang berpanjangan kepada semua pihak khususnya rakyat Johor,” katanya. – MalaysiaGazette