KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada suku tahun kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pertumbuhan yang dicatatkan ini adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022 (7.4%).

Bagi separuh pertama tahun 2024, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong oleh faktor domestik dan eksport dengan prospek positif untuk baki tempoh tahun ini.

Peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah serta pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April 2024.

Tambahan lagi, sejumlah RM6.98 bilion telah dikeluarkan daripada Akaun 3 (Akaun fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat Jun 2024 untuk menyokong keperluan kewangan jangka pendek.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, anggaran pertumbuhan yang dicatatkan pada suku kedua ini adalah sejajar dengan indikator terkini seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian yang masing-masing meningkat 6.1 peratus dan 2.4 peratus pada April dan Mei 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, nilai jualan borong dan runcit meningkat 6.6 peratus pada April dan 7.1 peratus pada Mei berdasarkan asas tahun ke tahun.

Bagi sektor luaran, jumlah perdagangan, eksport dan import mengalami peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Faktor lain termasuk peningkatan ketibaan pelancong serta pengeluaran kelapa sawit dan kemajuan pembangunan projek mega.

Pengiraan anggaran KDNK awalan suku tahun pertama 2024 adalah berdasarkan kepada gabungan sumber data yang tersedia.

Secara umumnya, terdapat perbezaan antara anggaran KDNK awalan dan KDNK sebenar disebabkan oleh ketersediaan data dari pelbagai sumber semasa tempoh penyusunan.

Mohd Uzir menjelaskan,prestasi ekonomi pada suku tahun ini dipacu oleh sektor perkhidmatan, dengan hampir semua sektor utama menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik berbanding suku tahun sebelumnya.

Sektor perkhidmatan terus meningkat kepada 5.6 peratus (ST1 2024: 4.7%), disokong oleh subsektor perdagangan borong & runcit, pengangkutan & penyimpanan dan kewangan & insurans.

Manakala sektor pembuatan meningkat kepada 4.7 peratus daripada 1.9 peratus pada suku tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan dalam semua subsektor, terutamanya produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka dan produk petroleum, kimia, getah & plastik.

Di samping itu, sektor pembinaan kekal dengan pertumbuhan dua digit, 17.2 peratus (ST1 2024: 11.9%) yang didorong oleh prestasi yang kukuh dalam semua subsektor, terutamanya kejuruteraan awam dan aktiviti pembinaan pertukangan khas.

Beliau menambah, sektor pertanian meningkat 7.1 peratus (ST1 2024: 1.6%) pada suku tahun ini, disumbangkan oleh pertumbuhan yang memberangsangkan dalam subsektor kelapa sawit.

Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian bertumbuh perlahan kepada 3.3 peratus berbanding 5.7 peratus pada suku tahun sebelumnya, disebabkan oleh subsektor gas asli yang menyederhana. – MalaysiaGazette