komputer riba MRSM
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membantu seorang pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Kerian, Kelantan yang mungkin tidak dapat menyambung pengajian kerana kesempitan hidup.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau menerima laporan mengenai pelajar cemerlang yang mendapat 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu yang berkira-kira untuk menangguh pengajian kerana baru kematian bapa akibat kemalangan, manakala ibunya hanya penoreh getah.

Jelasnya, beliau difahamkan pelajar berkenaan meminati bidang perakaunan, justeru telah menghubungi Naib Canselor dan Presiden Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) untuk menawarkan pengajian bidang itu kepada pelajar berkenaan.

“UPTM adalah universiti baharu bawah MARA, ada program profesional perakaunan ACCA. Yuran ditanggung MARA, bahkan ada duit elaun bulanan lagi.

“Saya juga menghubungi Yayasan Pelajaran MARA untuk bantu sumbangkan one-off bagi mengurangkan bebanan beliau dan keluarga untuk persiapan ke universiti dan segala kos pengangkutan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau tidak mahu pelajar cemerlang di luar bandar yang berdepan kesempitan hidup seperti pelajar berkenaan tercicir daripada arus perdana.

Dalam masa sama, beliau berterima kasih kepada pemimpin tempatan UMNO yang segera menghubunginya dan memaklumkan berkenaan masalah pelajar berkenaan.

“Pegawai-pegawai MARA proaktif, namun pimpinan tempatan mesti lebih proaktif dan cakna dengan masalah jiran tetangga dan orang kampung. Kalau mereka tidak memaklumkan masalah tetangga sukar juga MARA untuk bantu,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. MARA patut bantu pelajar biayaan nya yang telah tamat pengajiannya dari kolej swasta untuk diserap ke jawatan tetap bagi bidang aviauion engineering. Belajar dah lah susah. Bayaran nya mahal puloh ribu tapi syarikat tak nak ambil. Macam mana peminjam nak bayar balik. Kolej yang belambak tu kenyang dan patut di lihat oleh pihak berkuasa tentang skim gajinya yang rendah. Penyelenggaraan pesawat tu. KlU ambil pekerja pun bukan lulusan aviation engineering. Ambil kerana kabel dab bukan kerana benar benar layak. Banyak pelajar yang berkelulusan tidak diambil kerja. MOT dan KESUMA perlu siasat

Comments are closed.