Enam Ahli Parlimen Bersastu yang dilucutkan keahlian sekaligus menyaksikan kemungkinan enam kerusi Parlimen terpaksa dikosongkan.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul diminta mempertimbangkan semula keputusannya mengekalkan kerusi enam bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Parti Ikatan Demokrasi Malaysia (MUDA) membuat gesaan itu berpendapat keputusan tersebut boleh membuka pintu kepada gerakan yang serupa dengan Langkah Sheraton, yang mana ahli politik mengkhianati mandat rakyat demi kepentingan peribadi dan kuasa politik mereka.

“Tafsiran Yang di-Pertua Dewan Rakyat terhadap Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak betul, kerana ia dengan jelas menyatakan bahawa seseorang itu akan berhenti menjadi ahli Dewan jika dia berhenti menjadi ahli parti politik yang diwakilinya ketika dipilih.

“Ramai Ahli Parlimen Pembangkang dengan tepat menunjukkan bahawa Speaker telah bertindak di luar bidang kuasanya dalam membuat keputusan ini, kerana hanya mahkamah yang mempunyai kuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan parti untuk memecat Ahli Parlimen ini tidak boleh dicabar di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966,” kata parti itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, MUDA menegaskan bahawa Akta Anti Lompat Parti telah digubal pada 2022 dengan tujuan untuk mengekang aktiviti lompat parti yang mengkhianati mandat rakyat.

“Keputusan Speaker boleh membuka pintu bagi Ahli Parlimen untuk mengingkari keputusan parti mereka tanpa sebarang tindakan. Ia melemahkan undang-undang anti-lompat parti dan kehendak rakyat yang mengundi Ahli Parlimen ini berdasarkan afiliasi parti mereka,” katanya.

Justeru itu, MUDA menggesa agar Johari mempertimbangkan semula keputusannya demi kepentingan rakyat.

“Enam kerusi ini mesti diisytiharkan kosong, dan pilihan raya kecil perlu diadakan untuk membolehkan rakyat memutuskan siapa yang patut mewakili mereka di Parlimen.

“Keputusan ini tidak seharusnya membuka perancangan Langkah Sheraton 2.0, di mana ahli politik mengkhianati mandat rakyat demi kepentingan peribadi dan kuasa politik,” kata MUDA.

Minggu lepas, Johari memutuskan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat serta tidak perlu mengosongkan kerusi mereka kerana pindaan perlembagaan Bersatu baru-baru ini bertentangan dengan peraturan Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen.

Enam Ahli Dewan Rakyat itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli). – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.