KUALA LUMPUR – Pemilihan orang muda sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menunjukkan kesungguhan UMNO untuk merampas semula kerusi berkenaan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, pemilihan pemimpin muda juga dilihat bertepatan dengan keperluan dan perkembangan semasa politik tanah air yang memerlukan lebih ramai pemimpin pelapis masa depan.
Malah, jelas Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, keputusan meletakkan lebih ramai calon muda itu sepatutnya dilakukan lebih awal oleh semua parti politik iaitu pada pilihan raya umum sebelum ini.
“Ini juga bukan kerana faktor untuk menarik sokongan pengundi 18 tahun, tetapi kerana tuntutan yang jelas dalam suasana politik semasa selain desakan rakyat yang mahu melihat lebih ramai pemimpin muda menerajui negara,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Semalam, Barisan Nasional (BN) Kelantan mengumumkan Ketua Pemuda UMNO negeri itu, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon PRK DUN Nenggiri yang akan diadakan pada 17 Ogos depan.
Dalam pada itu, Mohamad Faisol berkata, meskipun faktor calon muda boleh memberi kelebihan, namun UMNO tetap perlu memastikan calonnnya tidak disabotaj oleh unsur-unsur luar dan tidak berkaitan.
Ujar beliau, gerak kerja jentera kempen UMNO dan Kerajaan Perpaduan sepanjang PRK itu perlu diselaraskan selain isu-isu nasional perlu diselesaikan segera bagi mengelak menjadi bahan kempen yang tidak menguntungkan.
“Parti yang bertanding pada PRK Nenggiri juga perlu mengelak membawa mana-mana elemen atau individu yang menjadi liabiliti kepada parti supaya tidak dieksploitasikan oleh kedua-dua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette