Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Majlis Raja-Raja telah memperkenan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kabinet telah dimaklumkan mengenai persetujuan itu selepas pembentangan KDN kepada Majlis Raja-Raja.

“Pindaan Perlembagaan Kewarganegaraan yang telah dibentangkan oleh Ketua Setiausaha KDN (Datuk Ruji Ubi) semalam telah diberi perkenan oleh Majlis Raja-raja dengan keputusan ini juga bermaksud proses seterusnya di peringkat Parlimen boleh bermula iaitu pada sesi Belanjawan (sesi akan datang),” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan perkenan oleh Majlis Raja-raja dan akan mematuhi saranan dan titah yang telah disampaikan.

“Walaupun kami telah membentangkan segala-galanya kerana proses penglibatan telah berlangsung, kami mesti mematuhi titah Majlis Raja-Raja untuk menghadap, dan kami berasa lega dan terbuka hati kerana berpeluang untuk menjelaskan dan membuat pembentangan itu,” katanya lagi.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung kewarganegaraan sudah dibentangkan ke Majlis Raja-Raja pada Khamis dengan memaklumkan ada perkara yang perlu diperhalusi dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebelum ia melalui bacaan buat kali kedua di Dewan Rakyat.

Malah, kementerian juga bersedia untuk meneruskan sesi libat urus bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan, dan memberi justifikasi terhadap cadangan yang terkandung dalam pindaan tersebut.

Pindaan tersebut bertujuan menyelaraskan umur mengundi di Malaysia dan takrif kanak-kanak yang diperuntukkan dalam Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), serta umur dewasa di bawah Akta Umur Dewasa 1971 (Akta 211).

Antara lain bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast