Foto tular kejadian polis menahan sebuah kereta yang dipandu secara melulu dan melanggar kenderaan polis malah hampir mencederakan seorang polis di Taman Kota Masai, Pasir Gudang semalam

PASIR GUDANG – Sebuah kereta dipandu secara melulu dan melanggar kenderaan polis malah hampir mencederakan pegawai polis bertugas dalam kejadian di Jalan 17, Taman Kota Masai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya terpaksa melepaskan tembakan
ke arah kereta terbabit untuk mempertahankan diri dalam kejadian pada pukul 12.20 tengah hari.

“Sebelum itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, telah menahan sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki tempatan untuk diperiksa.

“Bagaimanapun semasa pemeriksaan dilakukan, sebuah kereta dipandu secara melulu dan telah melanggar kenderaan polis serta hampir mencederakan pegawai polis bertugas dan menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan ke arah kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Terdahulu tular video berdurasi 17 saat mengenai kejadian tersebut yang mencetus kebimbangan penduduk setempat kerana mendakwa terdengar bunyi das tembakan.

Selain itu, terdapat juga dakwaan bahawa insiden yang berlaku itu menyebabkan kematian seorang penjenayah.

Mohd Sohaimi berkata, susulan itu tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 45 tahun berjaya ditahan manakala seorang lagi suspek berusia 25 tahun giat diburu.

Beliau memberitahu, ketiga-tiga suspek mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah dan dadah, hasil ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Kes tersebut katanya, disiasat mengikut Seskyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Permohonan reman ketiga-tiga suspek akan dibuat pada pagi Jumaat,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian dan seorang lagi suspek yang masih bebas agar menyalurkannya kepada pihak polis.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Asisten Superintenden Mohd Afzan Musa dan ke talian hotline IPD Seri Alam menerusi talian 07-3871422, ujarnya.

Sebelum itu, tular video berdurasi 17 saat mengenai kejadian tersebut yang mencetus kebimbangan penduduk kerana mendakwa mereka terdengar bunyi tembakan.

Selain itu, terdapat juga dakwaan insiden yang berlaku itu menyebabkan kematian seorang penjenayah. – MalaysiaGazette