Sebanyak 21,684 tin minuman keras yang dipercayai diseludup dirampas Kastam Pulau Pinang di sebuah kediaman terbiar di Jelutong pada 4 Julai lalu.

BUTTERWORTH – Taktik sindiket penyeludupan menjadikan rumah terbiar sebagai tempat simpanan minuman keras tidak bercukai gagal mengaburi mata pihak berkuasa selepas kediaman itu diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang pada 4 Julai lalu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Roselan Ramli berkata, hasil serbuan di kediaman di Jalan Kota  Giam, Jelutong Timur di bahagian pulau itu membawa kepada rampasan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM251,767.20 termasuk cukai.

Jelas beliau, operasi kira-kira jam 6.30 petang itu dilakukan selepas pemantauan pasukan yang melakukan rondaan pesisir pantai mendapati tiada sebarang pergerakan dalam tempoh sehari di rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan rapi membawa kepada penemuan 21,684 tin minuman keras jenis bir bersamaan dengan 9,198.96 liter melibatkan nilai anggaran RM45,994.80 dan cukai berjumlah RM205,772.40 disyaki tak berkastam.

Roselan menunjukkan minuman keras yang dirampas pihaknya.

“Sebahagian daripada minuman keras ini bertanda Malaysia Duty Not Paid (MDNP) iaitu untuk pasaran di Zon Bebas atau untuk dieksport manakala sebahagain lagi dipercayai diimport secara tidak sah kerana tiada setem cukai.

“Kita percaya minuman keras ini untuk pasaran utara Semenanjung,” katanya dalam sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam di Bagan Jermal di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Roselan berkata, hasil siasatan lanjut mendapati pemilik kediaman tersebut telah meninggal dunia dan rumah pula berada dalam keadaan rosak serta terbiar.

“Kita kini sedang berusaha mengenal pasti  suspek yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976,” katanya. – MalaysiaGazette