SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah yang menggunakan kereta sebagai setor simpanan untuk pasaran Lembah Klang.

Enam suspek lelaki tempatan termasuk seorang yang berperanan sebagai penjaga setor berjaya diberkas dalam beberapa siri serbuan serentak yang dilaksanakan di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dan sekitar Selangor pada 17 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata,  antara 5.50 petang sehingga 11.50 malam pasukan JSJN Bukit Aman telah menahan seorang lelaki berusia 50 tahun  di hadapan pos pengawal keselamatan Pangsapuri Tropiciana Aman di Telok Panglima Garang.

“Hasil soal siasat terhadap suspek itu pasukan telah pergi ke tempat letak kereta di aras satu pangsapuri sama sebelum menemui sebuah kereta jenis Nissan Teana.

“Pemeriksaan dalam kereta itu berjaya membawa kepada penemuan 44 kilogram dadah jenis pil ekstasi dan 3.55 kilogram pil erimin 5 di tempat duduk bahagian belakang dan depan dalam kereta itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Kok Chin, siasatan lanjut  mendapati kereta Nissan Teana itu didaftar atas milik suspek lain.

Berpandukan nombor lot kenderaan dan maklumat tambahan suspek pertama –  polis menyerbu dan memecah masuk pintu sebuah rumah di tingkat 17 di pangsapuri terbabit dan berjaya merampas syabu anggaran dua kilogram dalam sebuah bilik.

“Manakala lima lagi suspek lain termasuk pemilik kereta Nissan Teana  ditangkap di tempat yang berasingan dalam kawasan Selangor.

“Tangkapan kesemua lima ahli sindket itu berjaya membawa polis kepada rampasan dadah pelbagai jenis bernilai keseluruhan RM7.8 juta.

“Modus operandi sindiket berkenaan  adalah menjadikan kenderaan sebagai tempat simpan dadah sebelum ia diedarkan kepada pelanggan sekitar Lembah Klang serta aktif sejak awal 2024,” ujarnya.

Tegasnya lagi, semakan lanjut mendapati lima suspek memiliki rekod kesalahan lampau jenayah dan dadah .

Dalam serbuan sama, katanya, polis turut membuat sitaan ke atas sembilan kenderaan milik sindiket bernilai RM476,000, 27 barang kemas bernilai RM50,500 dan wang tunai RM4,006 di bawah  Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang keseluruhan berjumlah RM530,806.

Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 22 Julai ini dan sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun dan juga 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan rangkaian  sindiket  yang masih bebas, kata Kok Chin. – MalaysiaGazette