PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi soal perbuatan yang menyalahi prinsip integriti dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelasnya, pihak penguat kuasa harus lebih jujur dan bermoral tinggi kerana beban dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka lebih besar kerana menjaga keamanan negara.
“They must be whiter than white sebab dia selama memilih kerjaya ini dalam bidang penguasaan.
“Maka kepatuhan terhadap undang-undang mesti maksimum, tidak boleh ada kompromi bab itu tapi kalau berlaku juga umpamanya biar proses penguat kuasa mengambil tempat,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Saifuddin Nasution ditanya mengenai beberapa kes yang melibatkan anggota polis antaranya pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah dan tiga polis ditahan berhubung kehilangan bahan api jenis kerosin Jet-AI di Pangkalan Udara Semenanjung, Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM baru-baru ini.
Malah Saifuddin Nasution berkata, ia adalah fokus utamanya ketika menerajui kementerian itu sejak 2022.
“Perkara ini adalah keutamaan kita yang kita tekankan, kalau berlaku perkara perkara seperti itu ruang seluasnya kita berikan kepada pihak polis untuk membuat siasatan.
“Kalau semuanya terkumpul maklumat, ya mereka bebas untuk melakukan tindakan selanjutnya, membawa ke muka pengadilan dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette