KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sepatutnya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebelum Dewan Rakyat membuat keputusan menggantungnya selama enam bulan.

Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, Ahli Dewan Rakyat itu sepatutnya diberi ruang untuk mempertahankan dirinya menerusi jawatankuasa tersebut.

“Saya sependapat dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, bukan tidak pernah berlaku ahli dalam dewan (digantung) tapi bagi tujuan keadaan tertentu contoh, degil, hina Speaker.

“Dalam kes ini perbahasan sudah berlangsung, biasanya Ahli Parlimen dirujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, ia diberi hak untuk mempertahankan diri dalam kes ini memang ada masalah penafian untuk ruang keadilan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Larian Keluarga Malaysia.

Semalam, Dewan Rakyat menggantung Wan Ahmad Fayhsal daripada menghadiri persidangan selama enam bulan susulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selepas usul berkenaan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dengan 110 Ahli Parlimen bersetuju dan 63 tidak bersetuju, selepas undi belah bahagi dijalankan, manakala tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Terdahulu, usul penggantungan tersebut dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Seramai dua Ahli Parlimen membahaskan usul berkenaan iaitu Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Perikatan Nasional) dan Azli Yusof (PH-Shah Alam), sambil dicelah beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Pada 1 Julai lalu, ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fayhsal menuntut penjelasan berhubung keputusan penjualan sebahagian saham MAHB selepas beliau mendakwa menerima surat layang mendedahkan ‘dalang’ di sebalik keputusan berkenaan.

Beliau secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.