Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR- Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan bukti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis telah melanggar akuan bersumpah (SD) dan perlembagaan parti.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosialnya hari ini, Asyraf menunjukkan SD serta salinan asli Perjanjian Penamaan Calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri Melaka yang ditandatangani Jailani pada 2021.

Menurut beliau, berdasarkan perjanjian tersebut semua calon BN yang bertanding dalam PRN itu perlu meletakkan jawatan sebagai ahli parti dan mengosongkan kerusi yang dimenangi sekiranya mereka bertukar parti atau menukar haluan daripada menyokong BN dan parti komponennya.

Beliau berkata, pada masa yang sama calon-calon berkenaan dikehendaki membayar balik sebanyak RM100 juta kepada BN jika mereka menyertai parti lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

“Ini yang membezakan UMNO dengan Bersatu mahupun Pas kerana perlembagaan ini sudah pun dipinda sebelum pilihan raya umum yang lalu,” katanya.

Selasa lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan kemasukan Jailani yang sebelum ini digantung keahlian UMNO, ke dalam parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Adun ni biadab dan khianat pada pengundi. Dia kena bayar denda dan kepercayaan rakyat negeri melaka. Perangai macam ulau.

Comments are closed.