Dr Datin Zainol Sulaiman yang juga nenek kepada 11 orang cucu berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pendidikan pada Majlis Konvensyen City University Malaysia (CityU), hari ini.

KUALA LUMPUR – City University Malaysia (CityU) melakar sejarah melahirkan graduan 123 Doktor Falsafah (PhD) – jumlah paling ramai sejak penubuhan pada 1984 pada Majlis Konvokesyen CityU 2023 di sini hari ini.

Pengarah Urusannya, Datin Rohaidah Shaari berkata, graduan itu adalah sebahagian 1,165 pelajar program pascasiswazah yang juga dilahirkan institusi pengajian tinggi swasta itu pada majlis konvokesyen tahun ini.

Beliau yang juga merupakan pengasas CityU berkata, ia merupakan pencapaian terbesar kerana Pusat Pengajian Siswazah CityU berjaya melahirkan jumlah graduan pascasiswazah seramai itu yang menjadi penanda aras baharu kecemerlangan pendidikan secara keseluruhan.

“Graduan-graduan ini terdiri daripada 65 orang pelajar Phd Pendidikan, 33 orang pelajar PhD Pentadbiran Perniagaan dan 18 orang pelajar PhD Rekabentuk, empat pelajar Phd Teknologi Maklumat, dan tiga pelajar PhD Pentadbiran Perniagaan selain turut meraikan 1,042 graduan Sarjana.

“CityU juga menganugerahkan 30 Anugerah Dekan kepada graduan cemerlang dam berbangga apabila graduan-graduan yang kita lahirkan terdiri daripada 30 buah negara antarabangsa antaranya Perancis, Rusia, Saudi Arabia dan China” katanya dalam satu kenyataan.

City University Malaysia telah ditubuhkan sejak 1984.

Mengulas lanjut,  Rohaidah memberitahu, CityU komited dalam melahirkan graduan yang berkualiti seiring dengan kedudukan kebolehpasaran graduan CityU di pasaran Malaysia.

“Berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi 2023, CityU telah mencapai kadar kebolehpasaran graduan yang luar biasa sebanyak 99 peratus menjadikan kami antara institusi terkemuka di negara ini.

“Kadar kebolehpasaran yang tinggi bukan sahaja mampu menjamin kualiti pendidikan di CityU malah ia turut memenuhi permintaan majikan di pasaran industri kini,” katanya.

Rohaidah turut memberitahu, pembukaan kampus baharu di Cyberjaya akan mula beroperasi dalam masa terdekat.

Kampus baharu yang dilengkapi dengan fasiliti berteknologi tinggi ini dapat memberikan keselesaan kepada para pelajar sekaligus mampu menjadikan CityU antara institusi pendidikan terbaik di rantau Asia. – MalaysiaGazette