Keadaan terkawal di KLIA2 berikutan gangguan siber yang berlaku di seluruh dunia sejak semalam. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2024

SEPANG – Semalam seluruh dunia merasai gangguan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) global, Microsoft-CrowdStrike sehingga menjejaskan banyak perkhidmatan dalam talian.

Berdasarkan apa yang tular di media sosial semalam, operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) turut terjejas sehingga menyebabkan kesesakan apabila ramai penumpang berhadapan dengan sistem yang tergendala.

Namun tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati situasi semasa di lapangan terbang itu kini lebih terkawal dan tiada kesesakan seperti semalam.

Orang ramai menunggu giliran untuk mendaftar masuk di balai pelepasan KLIA2 berikutan gangguan siber yang berlaku di seluruh dunia sejak semalam. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2024

Difahamkan, sebahagian mesin daftar diri secara online dan penyerahan bagasi layan diri sehingga kini masih tidak dapat beroperasi seperti biasa akibat gangguan global semalam.

Bagaimanapun sumber MalaysiaGazette memberitahu, keadaan mesin-mesin automatik yang terlibat beransur pulih secara berperingkat.

Sebagai rekod, semalam institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas akibat gangguan siber besar-besaran sehingga mencetuskan kekalutan.

Dilaporkan, insiden berpunca masalah gangguan pengurusan IT. -MalaysiaGazette