NEW DELHI-Presiden Maldives Mohamed Muizzu menggesa Israel untuk menutup penempatan haram dan membayar ganti rugi kepada rakyat Palestin susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengesahkan pencerobohan Israel sejak 1967 adalah salah dari sisi undang-undang.
“Dengan pengesahan ICJ berhubung pencerobohan berterusan Israel di tanah Palestin adalah satu pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Mahkamah berjaya membuktikan aspirasi rakyat Palestin untuk menyaksikan kemerdekaan tanah air mereka.
“Dengan itu, saya menggesa Israel untuk segera menamatkan dasar penempatan haramnya dan membayar ganti rugi ke atas semua tindakan mereka yang eksploitif dan diskriminatif,” katanya.
Muizzu berkata demikian susulan advisori ICJ sebagai respon kepada permintaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.
ICJ melihat kepada pelbagai jenis pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel termasuk merampas tanah rakyat Palestin secara besar-besaran, menyalahgunakan sumber asli, memaksa rakyat Palestin meninggalkan tanah air mereka, memusnahkan rumah serta keganasan yang dilakukan oleh penduduk haram serta tentera.
Mahkamah memberitahu Israel bertanggung jawab untuk membayar pampasan terhadap semua kerosakan yang dilakukannya sepanjang menduduki tanah Palestin secara haram.
Ia turut menyatakan semua negara bertanggung jawab untuk tidak membantu Israel.
-BERNAMA