Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR- Jumlah kelas prasekolah Kementerian Pendidikan (KPM) meningkat sebanyak 133 kepada 10,042 kelas, berbanding 9,909 tahun lepas.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kesemua 10,042 kelas prasekolah itu beroperasi di 6,318 sekolah atau institusi pendidikan di seluruh negara.

Katanya, peluasan kelas prasekolah dilaksanakan oleh pihaknya setiap tahun terutamanya di lokasi yang mempunyai permintaan tinggi.

“Namun begitu, ia bukan hanya bergantung kepada ketersediaan kemudahan infrastuktur sedia ada di institusi pendidikan terbabit seperti kelas yang kondusif, peralatan kerusi meja dan lain-lain fasiliti yang berkaitan tetapi juga perlu ada permintaan yang tinggi daripada masyarakat setempat termasuk di kawasan luar bandar,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS- Sri Aman) mengenai tindakan atau perancangan kementerian dalam memastikan atau mewajibkan pendidikan prasekolah di negara ini.

Ia memandangkan masih banyak lagi sekolah yang tidak mempunyai kemudahan ini terutamanya di kawasan luar bandar.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM komited dalam memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses pendidikan prasekolah.

“Peluasan prasekolah KPM adalah selari dengan matlamat Global Education 2030 Agenda melalui matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4.0 iaitu menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat.

“Selain itu, untuk memastikan akses yang sama di semua peringkat pendidikan untuk golongan minoriti termasuk murid kurang upaya, Orang Asli dan kanak-kanak menjelang tahun 2030,” katanya.-MalaysiaGazette