Pelajar sekolah menemuni ajal selepas motosikal yang ditunggang gagal mengelak dengan kereta yang memotong kenderaan lain secara tiba-tiba di hadapannya dalam kejadian di Jeram, Kuala Selangor awal pagi Sabtu. Ihsan Foto IPD Kuala Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sekolah maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan di Jalan Sasaran, Kampung Bukit Kuching di Jeram, Kuala Selangor dekat sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, polis menerima panggilan kecemasan pukul 8.05 pagi tadi yang  memaklumkan berlaku kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal dan kereta.

“Siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati pemandu kereta jenis Perodua Axia seorang tukang masak sedang dalam perjalanan dari Kampung Bukit Kuching menuju ke Kuala Selangor.

“Pemandu yang menghampiri tempat kejadian telah memotong sebuah kenderaan lain yang berada di hadapannya sebelum penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC, Ally Ikhwan Shah Harizan Shah berusia 17 tahun yang datang dari arah bertentangan jalan tersebut.

“Mangsa cuba mengelak kereta yang berada di hadapannya namun gagal sebelum bertembung dengan kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat daripada perlanggaran kuat itu, pelajar yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaaan Kampung Bukit Kuching Tengah itu tercampak ke sebelah kiri dan terjatuh atas bahu jalan.

“Mangsa telah mengalami kecederaan parah dalam nahas tersebut sebelum disahkan maut di tempat kejadian itu manakala bahagian hadapan motosikal mangsa pecah teruk selain fork hadapan bengkok,” katanya.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tanjung Karang bagi proses bedah siasat sebelum Dr. Harsyafiq Razazwan Abdul Haris telah mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh impak kemalangan.

Tegasnya, pemandu Axia berusia 22 tahun yang berasal dari Kampung Setiaa Bukit Kuching Tengah, Jeram pula mengalami kecederaan ringan di tangan manakala cermin besar sebelah kanan dan lampu hadapan kanan pada kenderaannya pecah selain bumper kemek.

Kes sedang disiasat di Bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sementara saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung nahas berkenaan diminta berhubung segera dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Muhamad Najmi Abd Rahman di talian 017-8028105 untuk membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette