Putra Tashrinudin menunjukkan hasil pemeriksaannya di bahagian pengurusan UM dan UPM mendapati bekas isteri menipu tentang status pengajian serta pekerjaannya.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan mendakwa ditipu bekas isteri sepanjang 13 tahun usia perkahwinan mereka.

Putra Tashrinudin,38, mendakwa bekas isterinya menipu apabila mengakui mempunyai gelaran doktor falsafah (PhD).

Berkahwin sejak 2010, Putra berkata, bekas isterinya yang dikenali sebagai Dr Shaz mempunyai kelulusan dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) peringkat master.

Wanita itu melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran (PhD) dalam jurusan Bahasa Moden di sebuah universiti awam bermula 2020.

“Daripada mula berkahwin dengan Dr Shaz ni, ibu bapanya sudah beritahu, saya perlu memberi izin anak perempuan mereka  menyambung pengajiannya. Saya sebagai suami yang bersedia memberi sokongan, tidak ada masalah untuk itu.

“Masa kami baru berkahwin dia merupakan graduan diploma   Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL). Selepas itu saya benarkan dia sambung dalam master, saya bagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, pandemik Covid-19 pada 2019 memaksanya dan isteri ketika itu tinggal berjauhan kerana Putra menjalankan perniagaan di Perak.

Manakala wanita dan anak-anaknya bersama keluarga mentua di Pulau Pinang.

“Sebagai pasangan jarak jauh, kebanyakan komunikasi kami berdua hanya menerusi WhatsApp sahaja. Memang ada masa kami bersama, itu pun kalau dia kata dia bercuti panjang. Perkara itu berlanjutan sehingga kami ada anak dua orang lelaki.

“Dalam tempoh dia sambung belajar, dia kerap ke sana sini, katanya, jumpa pensyarah, aktiviti dengan universiti dan banyak lagi tapi rupanya dia curang,” dakwanya.

Bagaimanapun, katanya, status sebenar bekas isteri terbongkar selepas pasangan itu bercerai pada November 2023 dan beliau terdetik untuk membuat semakan gelaran bekas isteri selepas curiga ekoran kedudukan kewangannya sebelum ini.

“Selepas ada masalah dia gunakan wang syarikat perniagaan saya, timbul rasa curiga dari adik saya untuk suruh saya semak statusnya.

“Saya pun tanya universiti yang dia dakwa sebelum ini, dapat doktor malangnya dia tidak menamatkan pengajian pun malah dia tidak bekerja di hospital yang didakwa,” katanya lagi.

Selepas pelbagai drama, Putra rasa dikhianati sepanjang perkahwinan membuatkannya membuat sidang media hari ini.

Tambahnya, bekas isterinya itu mencanang dan mereka-reka cerita bahawa dirinya gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa.

Menurut Putra, selain membuat tuntutan mendapatkan hak jagaan dua anaknya, beliau turut membuat laporan polis berkenaan penipuan yang telah dilakukan bekas isterinya sepanjang 13 tahun mendirikan rumah tangga.

“Saya nak tuntut keadilan kepada diri saya akibat ditipu. Saya sudah buat laporan polis pada 16 Julai lalu selepas bekas isteri mulai tidak memberi kebenaran saya melawat anak-anak saya,” jelasnya.

Terbit rasa ingin memperjuangkan keadilan dan memastikan Dr Scam yang pernah dikenalinya mendapat pengajaran, Putra  juga memaklumkan bakal membawa isu tersebut ke mahkamah.

“Sebab dia dakwa dirinya berkhidmat di sebuah hospital, ada gelaran doktor, dia telah menggunakan platform rasmi agensi kerajaan memalsukan statusnya, tidak mustahil dia akan melakukannya kepada orang lain pada masa akan datang kalau tiada tindakan dikenakan,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Putra sebelum ini pernah membuat sidang media mendakwa dicurangi isteri dengan individu yang mempunyai talian dengannya sebelum ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast