Remaja lemas selepas dihanyutkan semasa mandi sungai dalam kejadian di Puchong semalam. Foto Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki 14 tahun ditemui lemas selepas dihanyutkan ketika bermandi manda di sebuah sungai yang terletak Kampung Pulau Meranti, Puchong dekat sini semalam.

Bagaimanapun, mayat mangsa Nik Ahmad Muzakkir Nik Razali berjaya ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sekitar pukul 6.36 petang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, terlebih dahulu bilik gerakan operasi bencana negeri telah menerima laporan insiden lemas sekitar pukul 4.41 petang semalam.

“Bertindak atas panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya telah bergegas ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) mangsa lemas.

“Operasi mencari dan menyelamat diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Asri Che Harun turut dibantu pasukan PPDA dari BBP Shah Alam serta BBP Pelabuhan Klang bagi mengesan mangsa itu.

Remaja yang lemas selepas dihanyutkan semasa mandi sungai dalam kejadian di Puchong semalam.Foto Bomba Selangor

“Siasatan awal bomba difahamkan mangsa telah dihanyutkan sungai ketika sedang bermandi manda dengan beberapa rakannya sebelum dikhuatiri lemas,” katanya menerusi kenyataan pada hari ini.

Operasi pencarian mangsa dilaksanakan oleh anggota PPDA di sungai tersebut sebelum berjaya menemui mangsa lemas pada pukul 6.36 petang pada jarak kira-kira 30 meter dari lokasi asal mangsa dilaporkan hilang.

“Bagaimanapun mangsa yang dinaikkan ke darat disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk dibawa ke hospital bagi tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette