Salah seorang jemaah haji wanita antara 270 orang kumpulan terakhir yang tiba di KLIA lewat malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia seramai 270 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.30 malam tadi, menandakan operasi haji bagi Musim Haji 1445H/2024M secara rasminya telah berakhir.

Lembaga Tabung Haji (TH) berkata, kumpulan terakhir daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas itu berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Putra Mohammad bin Abdulaziz, Madinah pada 20 Julai, jam 9.10 pagi (waktu Arab Saudi) dengan menaiki pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH 8389).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, bersama Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman serta barisan pengurusan menyambut ketibaan kumpulan jemaah tersebut di KLIA.

Mohd Na’im berkata, operasi haji tahun ini telah dapat dilaksanakan dengan sangat memuaskan dan pelbagai penambahbaikan perkhidmatan tersedia buat para jemaah haji negara.

“Alhamdulillah, segala perancangan yang telah disusun atur dengan teliti dan persiapan awal yang rapi telah dapat dilaksanakan dengan lancar. Walaupun terdapat beberapa kekangan dan cabaran, namun atas tindakan pantas dan kecekapan TH dalam menguruskan jemaah, kesemua ini dapat ditanganidengan sebaiknya dan tidak menjejaskan operasi haji secara keseluruhan.

“Tahniah kepada kesemua 31,600 jemaah haji negara pada tahun ini kerana telah berjaya mengharungi cabaran pelaksanaan kemuncak ibadat haji sekali gus menyempurnakan rukun Islam. Semoga segala usaha, pengorbanandan keikhlasan dalam beribadah ini diganjari dengan haji yang mabrur.

“Saya juga berharap semoga segala ibadah yang kita lazimi di tanah suci dapat terus dikekalkan sepulangnya ke tanah air dalam membentuk peribadi musleh buat setiap jemaah haji, InsyaAllah,” kata beliau.

Mohd Na’im Mokhtar menyambut ketibaan pulang 270 jemaah haji daripada kumpulan terakhir di KLIA lewat malam tadi.

Mewakili Kerajaan Malaysia, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan TH, agensi-agensi kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Malaysia Airports Holdings Berhad, badan korporat, para dhuyufurrahman dan semua pihak yang telah menyumbang secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan operasi haji kali ini.

“Ucapan terima kasih khusus saya ucapkan kepada Kerajaan Arab Saudi terutamanya Kementerian Haji dan Umrah dan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia yang telah banyak membantu pihak TH melancarkan lagi urusan ibadah haji para jemaah negara pada tahun ini”, tambah beliau.

Mohd Na’im turut menjelaskan segala dapatan dan maklum balasdaripada jemaah haji akan dinilai serta dibincangkan dalam Bengkel Pascanilai yang akan diadakan dalam masa terdekat bagi penambahbaikan perkhidmatan pada musim haji akan datang.

“Dalam usaha untuk menambahbaik dan meningkatkan kualiti perkhidmatannya, TH telah merangka blueprint haji yang mengandungi beberapa prosedur dan langkah perancangan pengurusan jemaah dan operasi yang lebih menyeluruh dan ini merupakan antara perkara utama yang akan dibincangkan di dalam mesyuarat pascanilai akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata, pengurusan operasi yang sistematik jelas menunjukkan komitmen berterusan TH yang sentiasa mengutamakankeselamatan dan kesihatan para jemaah haji kita.

“Alhamdulillah, dengan pengesahan jumlah kuota jemaah haji oleh Kerajaan Arab Saudi yang lebih awal, kita juga dapat membuat persediaan lebih awal dan persiapan yang lebih rapi bagi musim haji tahun ini. TH juga telah meningkatkan perkhidmatan berkaitan infrastruktur dan kemudahan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, termasuklah berkaitan penginapan, pengangkutan, makanan dan kesihatan terutamanya ketika di Masyair iaitu di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Dengan perancangan teratur dan pengurusan yang cekap, operasi haji tahun ini telah berjaya mencapai tiga matlamat utamanya iaitu pertamanya, membawa hampir 100% jemaah haji Malaysia melaksanakan kemuncak haji iaitu berwuquf di Arafah. Seterusnya, TH juga telah dapat memastikan tahap keselamatan para jemaah berada di tahap yang terbaik dan Alhamdulillah, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku,” ujarnya. – MalaysiaGazette