Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Dr Akmal Saleh meletakkan keutamaan kepada usaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO terlebih dahulu berbanding jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ketua Pemuda UMNO itu berkata, selagi kepercayaan itu belum diperoleh semula, beliau memilih untuk berada di luar Kabinet.

“Terima kasih UMNO Subang atas cadangan dan penghargaan yang diberikan kepada saya. Tetapi saya memilih untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti saya dengan berada di luar Kabinet.

“Selagi kepercayaan itu belum diperoleh, selagi itulah saya akan berada di luar Kabinet…bukan jawatan yang dikejar, tetapi kepercayaan rakyat kepada parti saya menjadi keutamaan saya buat masa ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam, perwakilan UMNO Bahagian Subang menggesa semua Pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara mengangkat usul khas supaya Akmal dilantik sebagai menteri.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Arman Azha Abu Hanifah mencadangkan semua UMNO Bahagian yang belum mengadakan mesyuarat supaya menjadikan usul khas itu sebagai usul rasmi dalam mesyuarat masing-masing.

Katanya, sudah dua penggal, Ketua Pemuda UMNO itu tidak diberi peluang dan tanggungjawab untuk menggalas jawatan sama ada sebagai menteri dan timbalan menteri. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.