KUALA TERENGGANU – Seorang buruh warga Myanmar didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberikan suapan RM250 kepada seorang pegawai polis minggu lepas.

Mohammad Shakir Mohammad Zokoria, 27, didakwa memberikan suapan wang itu kepada seorang inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun pada 15 Julai di Balai Besar Alor Tempoyak, Dungun.

Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk tidak menangkapnya atas kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Barang-Barang Terpakai 1946, iaitu tidak mempunyai lesen untuk melakukan aktiviti perniagaan barangan lusuh.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak sampai 10 tahun, diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai seperempat daripada tempoh penjara yang lama sekali ada diperuntukkan bagi kesalahan itu, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Norashima Khalid turut menetapkan hukuman enam bulan penjara sekiranya Mohammad Shakir gagal membayar denda, bagaimanapun dia membayar denda terbabit.

Mahkamah turut membenarkan wang rasuah RM250 itu dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd Yusof manakala Mohammad Shakir tidak diwakili peguam. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast