Pihak bomba sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat dua pemuda yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Layar, Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Dua lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Batu Layar, Bandar Penawar dekat sini, pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Penguasa Bomba Mohammad Saifulizam Mohd Rofi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut itu pada pukul 9.38 pagi.

Katanya, enam anggota bersama-sama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dihantar ke tempat kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian iaitu berhampiran Chalet Pantai Batu Layar Beach Resort, siasatan mendapati dua lelaki dewasa berumur dalam lingkungan 20-an lemas semasa mandi di Pantai Batu Layar.

“Jarak dari persisiran pantai dengan lokasi mangsa dilaporkan lemas dianggarkan lebih kurang 5 kilometer.

“Operasi mecnari dan menyelamat mangsa masih dijalankan sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette