Sebahagian pelajar hadir pada Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 20 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya Hari Terbuka National Integrated College (NIC) dianjurkan bagi memberi peluang kepada orang ramai terutama golongan belia untuk menyambung pelajaran dan mendapatkan pekerjaan.

Pengerusi Lembaga Pengarah NIC, Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod berkata, ia merupakan platform terbaik kepada pengunjung untuk meneroka bidang baharu secara pragmatik dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi itu.

“Kolej NIC cuba mendekati golongan yang selalunya ketinggalan dalam mencari matlamat kehidupan kerana ada yang rasa nak bekerja dulu sebab mahu kurangkan masalah kepada ibu bapa.

“Jadi, kita menyediakan ruang itu yang mana mereka bekerja dan bantu pelajar mencari masa dan ruang untuk belajar dengan kolej NIC dalam tempoh dua tahun bagi diploma,” katanya.

Pengerusi NIC, Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod bercakap pada media pada Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Pusat Beli Belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 20 JULAI 2024.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Hari Terbuka Kolej NIC di Pusat Beli-Belah Datum Jelatek yang dianjurkan bersama DatumCorp International, BECTA Training Academy Sdn Bhd (BECTA) dan MalaysiaGazette di sini semalam.

Mohamad Salmi turut memaklumkan, kolej NIC menawarkan kursus selama tiga hari dan jaminan pekerjaan dalam bidang operasi servis makanan dan minuman (F&B) yang akan dibimbing oleh Chef Riz, anak kepada Datuk Dr Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan.

Ketua Pegawai Eksekutif BECTA, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil bercakap pada media ketika Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Pusat Beli Belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 20 JULAI 2024.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (BECTA), Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil berkata, pihaknya berperanan menyediakan infrastruktur dan memantau perjalanan kerjasama bagi memastikan segala perancangan mengikut jadual.

“Kita menawarkan kursus TVET berasaskan penjagaan kesihatan iaitu latihan kejuruteraan elektronik bioperubatan yang sering diguna pakai oleh juruteknik dan jurutera di dalam hospital dengan menggunakan fasiliti di kolej NIC.

“Kalau kita lihat dalam industri kesihatan tidak banyak institusi yang menawarkan pembelajaran ini dan ia selaras dengan agenda pendidikan semasa, industri penjagaan kesihatan juga tidak mahu ketinggalan dalam menyediakan peluang kepada kepada pelajar yang berminat,” ujarnya.

Pegawai Pemantau Operasi DatumCorp International Sdn Bhd, Tengku Khairil Azwan Tengku Abdul Samad bercakap pada media ketika Hari Terbuka National Integrated College (NIC) di Pusat Beli Belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 20 JULAI 2024.

Dalam pada itu, kolej NIC juga merupakan institusi swasta yang pertama terlibat dalam program pendidikan pelancongan atau edutourism di bawah Malaysia Datum Cultural Centre (MDCC).

Pegawai Pemantau Operasi Datumcorp, Tengku Khairil Azwan Tengku Abd. Samad berkata, ia merupakan kerjasama yang julung kali dianjurkan bagi produk baharu dalam sektor pelancongan negara.

“Kita wujudkan edutourism ini bagi menjadikan pusat beli-belah Datum Jelatek sebagai penyedia lokasi utama kepada masyarakat untuk berkunjung.

“Ini adalah peringkat awal bagi program ini untuk penganjuran  hari terbuka kolej NIC dan penduduk sekitar boleh hadir dengan mudah kerana akses yang lengkap seperti penyediaan pengangkutan LRT dan pelbagai lagi.

“Kita harap selepas ini lebih banyak institusi pendidikan tinggi awam mahupun swasta turut terlibat dalam edutourism bagi menarik lebih ramai anak muda berkunjung ke sini dan memudahkan mereka mengadakan program secara besar-besaran,” jelasnya.

Terdahulu, hampir 3,000 pelajar dan pengunjung hadir ke pusat beli-belah Datum Jelatek bagi mendapatkan maklumat berhubung tawaran kemasukan kolej NIC serta maklumat pinjaman pendidikan dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). – MalaysiaGazette