Gambar kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang oleh keluarganya di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor Bahru malam semalam. Gambar: Facebook This Is Johor

ISKANDAR PUTERI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dilaporkan hilang ketika berada di pusat beli-belah Eco Galleria 3, Taman Botani, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asiaten Komisioner M Kumarasan berkata, mangsa, Albertine Leo Jia Hui disedari hilang oleh bapanya kira-kira pukul 8.30 malam di lokasi kejadian.

“Susulan itu bapa kanak-kanak tersebut membuat laporan di balai polis berhampiran. Kanak-kanak itu kali terakhir dilihat berpakaian baju T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada dan berseluar pendek.

“Polis Daerah Iskandar Puteri sedang berusaha mengesan kanak-kanak perempuan berbangsa Cina itu yang dilaporkan hilang sejak malam tadi.

“Kanak-kanak itu dikesan di lokasi terakhir iaitu di Eko Galleria 3, Jalan Eko Botani 3/2, Taman Botani,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sejak kelmarin, pusat beli-belah itu mengadakan Festival Bon Odori Johor yang menyaksikan kawasan itu sesak dengan kehadiran pengunjung.

Kumarasan berkata, kanak-kanak perempuan itu dianggarkan mempunyai ketinggian 1.2 meter dan berambut panjang berwarna hitam.

Bagi tujuan pengesanan, katanya, kanak-kanak itu bertubuh kurus sederhana dan berkulit cerah.

Dalam pada itu, Kumarasan menepis dakwaan kanak-kanak perempuan itu telah dilarikan dan kini berada di kawasan utara negara.

“Saya harap sabar dan jangan buat andaian. Pihak polis sedang siasat, setakat itu sahaja (perkongsian maklumat) sekarang,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat mengenai
kanak-kanak tersebut boleh menghubungi balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Ridzuan Abd Hadi menerusi talian 017-7051097.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh juga menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-2212999,” katanya.

Difahamkan, bapa kanak-kanak itu merupakan seorang peniaga dalam Festival Bon Odori Johor itu yang berakhir hari ini.

Usaha menghubungi bapa kanak-kanak perempuan berkenaan gagal apabila dia tidak membalas mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp. – MalaysiaGazette