Kapal MT Cares 1 yang berjaya ditemukan semula pihak Maritim Malaysia semasa cuba dilarikan dua bot tunda pada kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman, awal pagi tadi.

KOTA TINGGI – Sebuah kapal yang terbabit dalam pelanggaran dua kapal dagang asing pada kedudukan 25 batu nautika perairan Tanjung Balau dekat sini kelmarin yang dipercayai ‘hilang’ berjaya ditemukan awal pagi ini di perairan negara ini.

Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Mad Yunus berkata, kapal MT Ceres 1 yang berdaftar di Republik Sao Tome itu ditemukan pada kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman.

Beliau memberitahu, turut ditemukan dua buah bot tunda sedang menunda kapal tersebut.

“Kapal peronda luar pesisir (OPV) KM Pekan milik Maritim Malaysia berjaya mengesan dan memintas kapal tangki MT Ceres I sekitar pukul 1.20 pagi tadi dan turut menahan kedua-dua buah bot tunda terbabit yang disyaki terlibat membawa lari kapal tangki MT Ceres I.

“Bot tunda berkenaan dipercayai dari Singapura dan kita masih dalam siasatan untuk mengetahui tujuan bot tunda berkenaan melarikan kapal MT Ceres I,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Maritim Johor dilaporkan menggerakkan operasi Carilamat susulan insiden perlanggaran MT Ceres 1 dengan kapal MT Hafnia Nile yang berdaftar di Singapura pada awal pagi kelmarin.

Kawasan tumpahan minyak yang dikesan Maritim Malaysia di lokasi dua kapal dagang berkenaan berlanggar di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, semalam.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dilaporkan berkata, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti Zon Maritim Tanjung Sedili di sini bagi mengkoordinasikan pencarian.

Semalam Zin Azman dalam sidang akhbar memaklumkan, Kapal MT Ceres 1 gagal ditemui pasukan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian pada pagi semalam dan mendapatinya sudah meninggalkan kawasan perlanggaran.

Jelasnya, kapal berkenaan gagal dikesan berikutan menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS), namun dipercayai masih berada dalam perairan negara.

Menurutnya, kapal MT Hafnia Nile pula dilaporkan hanyut sejauh 52 batu nautika dari lokasi kejadian dan berada di perairan Pulau Pemanggil, Mersing.

Kapal MT Hafnia Nile yang dinaiki 22 kru telah diselamatkan kapal Tentera Laut Singapura, RSS Supreme yang bertindak pasukan pertama memberi respons terhadap insiden terbabit dan kesemua kru dibawa ke Singapura untuk rawatan lanjut.

Kapal MT Hafnia Nile yang dilaporkan terbabit dalam insiden pelanggaran di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi, kelmarin.

Mengulas lanjut, Zin Azman berkata, pihak Maritim Malaysia dengan kerjasama pihak Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan melaksanakan siasatan lanjut insiden kejadian itu susulan penemuan semula kapal MT Ceres I.

Sementara itu ujar beliau, hasil tinjauan udara pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP milik Maritim Malaysia menerusi udara semalam menemui sedikit kesan tumpahan minyak di lokasi kejadian.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan mengenai penemuan ini dan akan melakukan pemantauan lanjut dalam masa terdekat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast