Sukarelawan UM melakukan aktiviti bersama kanak-kanak.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kerja Perkembangan Kebajikan dan Kemasyarakatan, Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Universiti Malaya (UM) menganjurkan Projek Regain Experience Asli’s Life atau lebih mesra disebut sebagai Projek REAL.

Menurut Prof. Madya Dr. Roshidah Hassan, Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, REAL diadakan sebagai salah satu usaha dalam menyelami budaya dan cara hidup masyarakat orang asli di Malaysia.

“Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang kelompok orang asli yang merupakan masyarakat pribumi Malaysia dan mendekatkan diri mahasiswa dengan mereka.

“Program REAL memberi peluang kepada mahasiswa mengenali dengan lebih dekat adat dan budaya orang asli dan juga menyemai semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa UM,” katanya.

Demonstrasi menyumpit oleh penduduk Kampung Ulu Chembong.

Menurut beliau, Projek REAL dijalankan dalam dua fasa dengan fasa Pertama diadakan pada 4 dan 5 Mei 2024 di Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Negeri Sembilan.

Fasa Kedua pula diadakan di Dewan Gemilang Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah pada 17 Mei 2024.

Pada fasa pertama, 40 orang mahasiswa dari Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah telah berkunjung dan bermalam di Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Negeri Sembilan selama dua hari satu malam.

Pada hari pertama, para mahasiswa telah memberi sumbangan barangan makanan dari rumah ke rumah kepada lebih kurang 80 keluarga, melukis mural di dinding dewan orang ramai Kampung Ulu Chembong, mengadakan aktiviti bersama kanak-kanak Orang Asli Temuan dan juga mempelajari seni menganyam perhiasan kepala ’dendan’ yang dibuat daripada daun kelapa dan juga mempelajari cara mencanting batik.

Peserta REAL berpeluang melakukan aktiviti mencanting batik di Kampung Ulu Chembong.

Pada hari kedua, mahasiswa dibawa mendaki bukit dan merentas hutan sambil mempelajari cara Orang Asli Temuan menyumpit binatang di dalam hutan.

Projek REAL yang dijalankan berjaya mewujudkan kesedaran tentang kepentingan kepelbagaian budaya dan memupuk persefahaman antara budaya masyarakatberbilang kaum dan etnik di Malaysia.

Selain itu, projek yang melibatkan diri anak-anak orang asli dengan aktiviti yang dapat membantu meningkatkan pengetahuan mereka melalui
pelaksanaan aktiviti 3M iaitu aktiviti membaca, menulis dan mengira.

Kanak-kanak Orang Asli Temuan yang berumur di antara 3 hingga 12 tahun mengambil bahagian dalam aktiviti ini.

Pengarah Projek REAL, Amirah Nasuha Mohamad Izat pelajar Tahun 2, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi berharap projek ini dapat memberi peluang kepada mahasiswa menerokai dan memahami kehidupan orang asli, tetapi juga dapat membantu komuniti orang asli dalam mengubah cara pemikiran mereka untuk menjadi lebih berani dalam mencuba dan mengaplikasikan perkara baharu supaya dapat sama-sama maju tanpa perlu meninggalkan nilai adat dan budaya mereka. – MalaysiaGazette