Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar lari sebuah MPV di Kilometer 0.5 Lebuhraya EDL, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang pejalan kaki meninggal dunia dalam kejadian langgar lari di Kilometer 0.5 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL), di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 4.30 pagi melibatkan mangsa dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza warna merah.

“Kejadian berlaku di lebuh raya tersebut yang menghala ke bandar raya ini. Mangsa dilanggar dan mengalami cedera parah di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an. Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang berada di kiri bahagian jalan dilanggar Perodua Alza tersebut.

“Pemandu kenderaan tersebut tidak berhenti dan terus melarikan diri selepas kemalangan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, usaha mengesan pemandu MPV berkenaan sedang dilakukan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis memohon saksi awam yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Fatihah Ismail 0104171762. – MalaysiaGazette